24 Mac 2025 – Program Ramadan MADANI YAPEIM meneruskan lagi agenda prihatin dengan singgah di dua lokasi petang ini, iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah dan German Malaysian Institute (GMI) di Kajang, Selangor melibatkan sumbangan sejumlah RM92,000.
Di UUM, YAPEIM menyalurkan RM47,000 merangkumi bantuan tunai YAPEIM Didik sebanyak RM100 seorang kepada 300 pelajar, berjumlah RM30,000. Selain itu, majlis berbuka puasa untuk 400 orang turut ditaja bagi meraikan para pelajar dan tetamu.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM Prof. Dr. Ahmad Martadha bin Mohamed dan Ketua Seksyen Pengurusan Pejabat Pentadbiran YAPEIM Negeri, Tuan Azli bin Abdullah.
Sementara itu, di GMI, sejumlah RM45,000 diperuntukkan, melibatkan bantuan tunai YAPEIM Didik RM100 setiap seorang kepada 300 pelajar serta tajaan majlis berbuka puasa untuk 400 orang.
Majlis di GMI turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Akademik dan Operasi German Malaysian Institute Ts. Fahrul Rizal bin A. Halim dan Pengarah Kanan/Ketua Divisyen Kewangan YAPEIM Tuan Azhar bin Ahmad Zaki.
Sehingga hari ini, program Ramadan MADANI YAPEIM telah menjelajah ke 19 lokasi di seluruh negara bagi menyantuni pelajar-pelajar yang memerlukan terutama dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah menengah dan rendah.











