Program Inspirasi Musaadah Ramadan YaPEIM

YaPEIM Santuni Petugas Barisan Hadapan Di Bulan Ramadan 1441H

YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) terus menyantuni petugas-petugas barisan hadapan dari kalangan golongan B40 di agensi-agensi atau institusi yang mana kakitangan mereka menyumbang di dalam Skim Potongan Gaji YaPEIM. Bagi Peringkat Negeri Perak, Program Inspirasi Musaadah Ramadan YaPEIM diadakan pada hari ini, 12 Mei 2020 bertempat di Dewan Budiman, Kompleks Penjara Tapah, Tapah, Perak.

Inisiatif ini diteruskan memandangkan Negara kita masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 09 Jun 2020.

Sehingga kini, YaPEIM telah membelanjakan RM1.748 juta dari Tabung Amanah YaPEIM bagi Program Foodbank YaPEIM 2.0 #MUSAADAHCOVID19 dan Program Inspirasi Musaadah Ramadan YaPEIM termasuk Program Beli & Sumbang yang telah memberi manfaat kepada 76,976 penerima di 365 lokasi yang terjejas sepanjang tempoh PKP yang bermula 18 Mac sehingga 12 Mei 2020.

Pada hari ini seramai 650 keluarga yang dikenalpasti akan menerima sumbangan berupa barang keperluan asas dengan peruntukan sebanyak RM32,500. Sumbangan tersebut akan diagihkan oleh pihak-pihak yang dikenalpasti seperti PDRM, ATM, Bomba, APM, RELA dan beberapa agensi kerajaan yang lain bagi menampung keperluan harian keluarga dan meringankan beban terutamanya dalam PKP di bulan Ramadan ini.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir pada majlis ini Puan Parihah Hasan, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Pengurusan YaPEIM dan wakil-wakil Agensi penerima sumbangan.

Terima kasih kepada Penyumbang Tabung Amanah YaPEIM dan juga pihak-pihak yang menyokong YaPEIM selama ini.