Perdana Menteri dijangka rasmi dan sampaikan Ucaptama di Forum Serantau YAPEIM

13 September 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) akan menganjur Forum Serantau YAPEIM 2024 (FSY2024) pada 1 dan 2 Oktober di sebuah hotel di Putrajaya.

Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim dijangka merasmi dan menyampaikan ucaptama di hari pertama forum tersebut, yang diadakan sempena ulangtahun ke-40 YAPEIM.

Perkara ini diumum oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur FSY2024 Prof. Dato’ Dr. Saadiah binti Mohamad di sidang media mengumumkan FSY2024 lewat pagi ini.

Bertemakan “Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau”, FSY2024 akan menghimpunkan hampir 60 penceramah dan ahli panel dari dalam dan luar negara dengan pelbagai latar belakang.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Saadiah, penceramah dan ahli panel berpengalaman antaranya dari Indonesia, Kemboja, Singapura, Thailand dan United Kingdom, selain dari Malaysia, dijangka hadir.

Antara lain FSY2024 bertujuan memperkasa sektor ketiga dalam usaha membangunkan ummah dengan lebih efisyen dan tadbir urus yang baik. Forum ini juga diharap dapat mengenal pasti cabaran dan kehendak ekonomi dan kewangan semasa dan seterusnya mencadang pelbagai pendekatan dan strategi yang berkesan untuk pembangunan Ummah.

Tambah Prof. Dato’ Dr. Saadiah lagi, forum ini diharap dapat menghubungkan jaringan, mengeratkan rantaian dan mewujudkan sinergi dalam hubungan ekonomi antara Ummah di rantau nusantara.

FSY2024 menyasarkan kehadiran 500 peserta.

Selain kehadiran secara fizikal yang perlu melalui pendaftaran melalui sesawang yapeim.my, ia juga boleh dihadiri secara dalam talian melalui laman Youtube YAPEIM TV atau menerusi sesi siaran langsung di Facebook YaPEIM (Official).

Prof. Dato’ Dr. Saadiah berharap FSY2024 dapat menjadi satu platform untuk merangka strategi baharu dan inisiatif yang praktikal bagi memajukan ekonomi dan kewangan Islam di rantau ini serta memberi dorongan kepada pembangunan yang mampan dan inklusif.

Loading