MTHQK melabuhkan tirai

29 Mei 2024 – Usai sudah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi yang secara rasminya ditutup malam tadi.

Tahniah kepada Mohamad Husaini Mahmud dari Negeri Sembilan dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu yang masing-masing diumum sebagai johan qari dan qariah tahun ini.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, RM10,000 bagi menunaikan haji, satu keping bar emas YaPEIM Gold 5 gram dengan mutu 999 bernilai RM2,000, piala, cenderamata serta sijil.

Bagi acara hafazan 30 juzuk beserta tafsir kategori hafiz dimenangi Muhammad Rifae’i Mat Zuki dari Kedah dan Putri Aminah Mohd Hanif dari Kelantan. Bagi kategori hafazan 20 juzuk, Muhammad Asyraf Amir dari Johor dan Fatihatul Badriyah Mohd Abd Latif Hilmi dari Selangor dinobatkan sebagai pemenang.

Kategori hafazan 10 juzuk pula menyaksikan peserta Melaka, Abdullah Afif Mohd Ariffin, dan Aisyah Nabihah Noor Hisham dari Negeri Sembilan diumum sebagai pemenang.

Majlis penyampaian hadiah dan penutupan majlis disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.

YaPEIM selaku rakan penaja menyediakan lapan keping bar emas 5 gram setiap satu dengan mutu 999 yang keseluruhan berjumlah RM16,000 kepada pemenang kali ini.