“Mereka lebih tenang di sini”

Pasukan kami hari ini ditugaskan untuk menghantar bahagian daging hasil ibadah korban ke Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) di Bukit Tunku, salah satu lokasi popular di tengah-tengah ibu kota.

Seawal memasuki di salah satu lorong di Bukit Tunku, perasaan mula tertanya-tanya bagaimana keadaan dan ‘rupa’ sebenar PENGASIH.

Namun sebaik melihat papan tanda ‘Selamat Datang ke PENGASIH’ , perasaan mula berubah teruja selepas melihat pegawai di situ menyambut kami dengan penuh mesra.

Lebih manis apabila pasukan kami disambut sendiri Presiden PENGASIH iaitu Tuan Haji Ramli dan pengurusan utama badan pemulihan dan rawatan ketagihan itu.

Penyerahan kali ini turut diwakili pengurusan dan kakitangan Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Kuala Lumpur.

Tanpa mengambil masa yang lama, pasukan kami kemudiannya menyerahkan sumbangan bahagian dua ekor lembu kepada PENGASIH hasil kelolaan Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TaQY).

Haji Ramli memaklumkan hasil sumbangan daging ini akan membantu kira-kira 200 pelatih di PENGASIH khususnya di Kuala Lumpur dan tidak lekang mulutnya menzahirkan rasa syukur atas pemberian ini.

Alhamdulillah, selesai sudah tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kami pada hari ini.

Semoga hari esok lebih baik dan kami semua diberikan kekuatan serta kesihatan yang memuaskan bagi meneruskan program penyerahan daging korban sepanjang Hari Tasyriq pada sambutan Aidiladha kali ini.

Semoga Allah s.w.t memudahkan segala urusan kita.