28 September 2024 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kerjasama strategik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah membina lima buah rumah untuk keluarga asnaf di Kelantan melibatkan peruntukan berjumlah RM400,000.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar yang menyempurnakan sesi serahan rumah kepada kelima-lima penerima manfaat berkata, kesemua asnaf berkenaan menerima bantuan bina baharu kediaman berjumlah RM80,000 seorang.
Katanya, bantuan yang merupakan inisiatif Program Sinar Lestari YAPEIM Negeri Kelantan telah memanfaatkan Puan Cindy Mysara Hoo binti Abdullah, 56, peniaga kuih-muih dari Kampung Pulau Pisang, Kota Bharu; Encik Rusli bin Ismail, 58, pembuat kerek telaga dari Kampung Panjang Banggu, Kota Bharu; Encik Mohd Roslee bin Jaafar, 49, pekerja kilang memotong kayu dari Kampung Pendang Pauh, Tumpat.
Turut sama, Encik Mohd Bakri bin Abdullah, 53, pengusaha kedai kopi dari Lorong Sekolah Kebangsaan Bunut Payong, Kota Bharu dan Encik Mohd Helmi bin Mohd Noor, 32, tukang rumah dari Kampung Sungai Durian, Bukit Abal.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar berkata, kerja-kerja pembinaan rumah penerima manfaat telah dilakukan oleh kontraktor yang dilantik oleh JAHEAIK yang mula dibina pada 7 Disember 2023 dan siap sepenuhnya pada 5 Ogos 2024. Terdahulu pemilihan dan pengesahan penerima manfaat telah dilakukan oleh JAHEAIK pada 20 November 2023.
“Saya juga dimaklumkan YAPEIM akan memberi bantuan tambahan iaitu pakej sokongan kelestarian perniagaan berjumlah RM3,000 seorang bagi membantu penerima manfaat memperoleh pendapatan tambahan.”
“Saya doakan menerusi bantuan bina baharu kediaman ini dapat memberi keceriaan dan keselesaan kepada keluarga asnaf yang terpilih, insya-Allah,” katanya.
Sejak Oktober 2020 hingga Ogos 2024 YAPEIM melalui Program Sinar Lestari telah mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM12 juta membabitkan 265 buah projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara dengan memanfaatkan ratusan masyarakat miskin tegar dan keluarga berpendapatan rendah.
Sehingga kini sebanyak 155 projek baik pulih dan 110 projek bina baharu telah dilaksanakan dengan 172 projek telah disiapkan sementara baki 93 projek lagi dalam proses pembinaan. Manakala bagi bantuan sokongan kelestarian perniagaan pula YAPEIM telah menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM330,000 membabitkan 117 peserta.
Turut hadir dalam sesi serahan di Kampung Pulau Pisang, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu itu ialah oleh Pengarah merangkap Ketua Divisyen Pembangunan Sosioekonomi YAPEIM, Encik Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Halal) JAHEAIK, Encik Anuar Al Sadat bin Haji Noor.