KYB Diiktiraf 100 Koperasi Terbaik di Malaysia

PETALING JAYA, 11 JANUARI 2022 – Koperasi YaPEIM Berhad (KYB) diiktiraf sebagai antara 100 koperasi terbaik di Malaysia selepas menerima sijil pengiktirafan yang dikeluarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), semalam.

Pengiktirafan itu disampaikan Pengarah Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur SKM, Encik Jaafar Ahmad kepada Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Mohd Ridzal Mohd Sheriff dalam majlis yang cukup bermakna di Ibu Pejabat YaPEIM di Mentari Business Park, Bandar Sunway di sini.

KYB yang juga institusi di bawah kawalan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) berada di kedudukan ke-57 bagi tahun 2020 sekali gus menyaksikan KYB sebagai sebuah koperasi yang diyakini serta berdaya saing di negara ini.

KYB yang menjalankan aktiviti ekonomi seperti Mikrokredit Ar-Rahnu/pajak gadai perkhidmatan, pelaburan, Ar-Rahnu/pajak gadai serta yang terbaharu Akaun Emas YaPEIM (SERY) mempunyai keanggotaan seramai 823,361 ribu ahli di seluruh negara.

KYB juga mempunyai nilai aset melebihi RM80 juta dengan pendapatan melebihi RM14 juta setahun menjadikan KYB sebagai sebuah koperasi yang stabil serta kompetitif bersama koperasi terbaik yang ada di Malaysia.

Dengan penghargaan yang diberikan itu membuatkan KYB lebih bermotivasi dalam meningkatkan kedudukannya pada tahun ini. KYB yang diasaskan pada 12 Februari 1996 merupakan institusi pelaksana bagi perkhidmatan pajak gadai AR-Rahnu YaPEIM sejak 2000.