Institusi pendanaan awam perlu dinamik dalam menoktahkan kemiskinan

2 Oktober 2024 – Institusi pendanaan awam di Malaysia seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Yayasan Hasanah dilihat mampu memainkan peranan yang signifikan dalam menoktahkan kemiskinan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed berkata, sebagai contoh di YAPEIM terdapat tiga teras utama iaitu Pembangunan Ekonomi Islam, Pendidikan dan Pembangunan Sosial dalam mencorakkan agenda yang tersusun bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

“Di YAPEIM kita perlu melihat bagaimana nak membantu kumpulan sasaran kita ini. Adakah kita hanya perlu beri ‘ikan’ (bantuan one-off) sahaja atau kita boleh membantu dengan beri jala atau pancing.

“Kalau kita bagi ikan mungkin bulan depan sudah habis dan bila bulan depan tidak dapat bantuan mungkin akan jatuh miskin. Di situ YAPEIM perlu lihat dan main peranan di mana kita perlu bantu secara jangka pendek atau jangka panjang.”

Beliau berkata demikian ketika berucap selaku ahli panel dalam Sesi Pleno 3 Sektor Infak dan Inovasi Penggunaan Dana: Mempertingkat Impak dalam Pelaburan Sosial, di Hotel Putrajaya Marriott, Putrajaya, pagi ini.

Katanya, di YAPEIM menerusi teras Pembangunan Sosial yayasan ini mempunyai dua cabang bantuan yang boleh membantu masyarakat melalui bantuan kemasyarakatan bersifat one-off dan keusahawanan bersifat jangka panjang.

Tuan Haji Ameer Ali juga memaklumkan dalam masa sama Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) yang dilaksana YAPEIM selama tiga tahun merupakan satu pendekatan yang holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berterusan yang merangkumi pembangunan ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial.

Beliau berkata, sehingga kini PPKY telah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak dan Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Puan Siti Kamariah binti Ahmad Subki berkata, Yayasan Hasanah tidak sahaja memberi fokus kepada bantuan kepada masyarakat tetapi juga turut membantu keperluan alam sekitar, haiwan dan menyantuni institusi ilmu.

“Kita di Yayasan Hasanah selain aktif menyantuni keperluan masyarakat kita tidak melupakan bantuan kepada alam, NGO yang aktif membantu haiwan dan ilmu itu sendiri bagi memastikan tiada yang tersisih dan bantuan dapat diterima semua pihak secara menyeluruh,” katanya.

Loading