Putrajaya, 21 Januari : Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri hari ini merasmikan gimik pelepasan tiga treler yang membawa muatan tilam disumbangkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk mangsa banjir di Raub, Pahang.
Agihan 500 gulung tilam kepada 250 keluarga yang terjejas akibat banjir itu merupakan inisiatif diambil YaPEIM menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami – Misi Bantuan Program Musaadah 2021 ke Negeri Pahang.
Ketiga-tiga treler yang bertolak dari Kompleks Islam Putrajaya, di sini dijangka tiba ke Raub, hari ini dan dua tilam akan terus diagihkan kepada 250 keluargayang mana dapat meringankan beban akibat kemusnahan harta benda.
Program ini juga turut mempunyai objektif iaitu memberi sedikit kegembiraan seterusnya menjadi bentuk sokongan kepada mangsa banjir di atas bencana yang berlaku dan mengurangkan bebanan keluarga yang mempunyai punca pendapatan atau sumber kewangan isi rumah berpendapatan rendah atau golongan B40.
Sebelum ini melalui Program Inspirasi Qaseh Kami yang digerakkan Skuad Qaseh YaPEIM telah menyalurkan sumbangan kepada mangsa di setiap negeri yang terjejas akibat banjir dengan mengagihkan bantuan di bawah Inspirasi Qaseh Kami- Program Foodbank YaPEIM, makanan asas dan daging segar sama ada untuk dimasak di pusat perpindahan sementara atau diberikan terus kepada mangsa terlibat.
Malah pada 8 Januari lalu Datuk Dr Zulkifli turut bersama mengagihkan barangan keperluan asas untuk mangsa banjir di Masjid Kampung Kundang Patah, Dong Raub, Pahang serta penglibatan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Ahmad Marzuk Shaary yang mengagihkan sumbangan di Kuala Lipis, Pahang.
Sumbangan yang diagihkan pihak YaPEIM ini juga bertujuan memaksimumkan agihan wang sumbangan amal jariah YaPEIM yang disumbangkan orang ramai untuk digunakan sebagai manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
YaPEIM percaya dengan segala aktiviti amal jariah yang dilaksanakan kini ia dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk menyumbang kepada YaPEIM bagi tujuan pelaksanaan program-program amal jariah.
Turut hadir pada majlis pelepasan itu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Puan Parihah Hasan dan barisan pengurusan utama YaPEIM.