Inspirasi Qaseh Kami : YaPEIM Prihatin keperluan keluarga terkesan PKP 3.0

Port Dickson 5 Julai: Baru-baru ini Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah menyalurkan bantuan Program Inspirasi Prihatin YaPEIM kepada asnaf kurang berkemampuan dan Foodbank makanan keperluan harian kepada golongan B40 dan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Penerima pertama Mohamad Yusof Bin Salim tidak bekerja kerana mengidapi penyakit strok seluruh anggota badan sebelah kanan, dan penyakit 4 serangkai tidak mampu menguruskan diri sendiri.

Isterinya pula hanya surirumah sepenuh masa. Mereka hanya menumpang di rumah mak ayahnya sebagai tempat berteduh sekeluarga. Beliau hanya menerima bantuan PERKESO setiap bulan untuk menampung perbelanjaan harian.

Penerima kedua En Salizam Zainudin membuat pekerjaan kampung sebagai sumber pendapatan harian manakala isterinya surirumah sepenuh masa. Beliau mempunyai 4 orang anak 3 daripadanya OKU dan seorang OKU lembam.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) En Salizam tidak dapat membuat kerja-kerja kampung kerana pergerakkannya terbatas ianya amat memberi kesan kepada pendapatan keluarganya.

Penerima ketiga Asiah Binti Abdul Ghani seorang ibu tunggal menghidap beberapa penyakit seperti athsma dan saluran jantung sempit. Kini keluarga ini mendapat bantuan JKM sebanyak RM200 sebulan dan Baitulmal juga RM200 sebulan. Anaknya yang sulung telah berhenti bekerja kerana menjaga ibunya yang sakit.

Untuk menambah pendapatan keluarga anaknya mengusahakan jualan tokayaki di pekan Pasir Panjang. Berikutan kawasan rumahnya yang berada dipendalaman pembelajaran dalam talian sepanjang PKP 3.0 ini amat terjejas akibat talian internet sukar dicapai dikawasan tersebut.

Ketiga-tiga keluarga ini menerima bantuan Inspirasi Prihatin YaPEIM bantuan wang tunai sebanyak RM500 untuk setiap keluarga dan set foodbank dryfood YaPEIM.

Serahan bantuan diteruskan dengan serahan sebanyak 70 set foodbank YaPEIM dryfood di SMK Pasir Panjang secara pandu lalu diagihkan kepada keluarga pelajar yang terkesan dan memerlukan bantuan makan segera.

Bantuan telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Turut hadir Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson Tn Hj Kamanizam Bin Tindek. Beliau mengucapkan ucapan terima kasih atas bantuan yang telah diberikan. “YaPEIM banyak bantu kami dalam sektor pendidikan di Negeri Sembilan”, katanya.

YaPEIM menzahirkan ucapan terima kasih kepada individu yang terlibat khususnya para penyumbang Tabung Amanah YaPEIM yang bersama membantu masyarakat yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19.