Inspirasi Qaseh Kami : YaPEIM prihatin bantu keperluan ibu tunggal dan OKU.

Maran, 9 Julai : Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 menyebabkan kebanyakan masyarakat terjejas sumber pendapatan ekoran banyak sektor perniagaan, perindustrian dan lain-lain lagi terpaksa ditutup atau dihadkan aktiviti.

Prihatin dengan situasi ini, YaPEIM melalui Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri Pahang (PPYN) berusaha menyantuni mereka yang ditimpa musibah dengan menyalurkan sedikit sumbangan wang tunai dan barangan keperluan berjumlah RM2,500.00.

Penerima pertama, Puan Nor Hashimah Mohd Noor tidak bekerja kerana merupakan OKU bisu. Suaminya juga merupakan seorang OKU bisu dan mempunyai masalah kesihatan (patah tulang pinggul dan masalah penglihatan) tidak boleh bekerja buat masa ini. Pasangan ini mempunyai enam orang anak. Mereka hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan bagi menampung perbelanjaan harian.

Penerima kedua, Puan Liza Abdul Manaf merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak. Beliau yang baru sahaja kematian suami akibat kanser hati hanya seorang surirumah tangga. Selepas kematian suami, beliau mengusahakan perniagaan pencetakkan untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya. Namun di musim pandemik ini, perniagaannya sedikit terjejas dan memberi kesan kepada pendapatannya.

Penerima ketiga, Puan Safiah Zainudin yang merupakan ibu tunggal kepada enam orang anak yang berumur dari sembilan belas tahun sehingga empat tahun. Beliau bekerja di pasaraya berhampiran rumahnya untuk menampung perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya. Pendapatannya sedikit terjejas di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian keluarganya.

Penerima keempat, Puan Hafizah Mustapha. Beliau merupakan ibu tunggal kepada 3 orang anak. Beliau yang hanya mengusahakan Warung Bakso dihadapan rumahnya sangat terkesan sepanjang musim PKP ini kerana kurang pembelian dan tempahan makanan dari warungnya, ianya amat memberi kesan kepada pendapatan keluarganya.

Penerima kelima, Puan Nor Hafizah Musa yang juga merupakan ibu tunggal. Beliau tidak bekerja dan hanya menerima pencen arwah suaminya sebanyak RM800 setiap bulan. Beliau terpaksa berjimat cermat bagi menampung perbelanjaan harian keluarganya lebih-lebih lagi disaat pandemik ini.

YaPEIM menzahirkan ucapan terima kasih kepada individu yang terlibat khususnya para penyumbang Tabung Amanah YaPEIM yang bersama membantu masyarakat yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19.

Sumbangan anda sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan. Kami hanya perantara dalam menyampaikan amanah anda.

Tabung Kebajikan dan Pelajaran YaPEIM – 1402 3010 0000 82 (Bank Islam)