Inspirasi Qaseh Kami : YaPEIM hulurkan sumbangan ringankan beban penduduk PKPD

Asajaya, 22 Jun : Seramai 664 buah keluarga di kawasan Tambirat telah menerima sumbangan makanan kering (dryfood) melalui Program Foodbank 3.0 di bawah inisiatif Program Inspirasi Qaseh Kami YaPEIM.

Kampung Tambirat merupakan antara kampung yang telah dikenakan Perintah Kawasan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bermula pada 11 Jun dan telah ditamatkan lebih awal pada 15 Jun 2021 memandangkan tiada pertambahan kes dalam jangka masa berkenaan.

YaPEIM dalam usaha menyantuni penduduk yang terkesan pandemik dan golongan memerlukan sebagai salah satu objektif utama perlaksanaan Program Foodbank 3.0 kali ini akan memberi fokus kepada kawasan PKPD.

Simbolik serahan sumbangan disampaikan oleh skuad Qaseh YaPEIM Sarawak kepada ketua kampung di empat (4) zon yang melibatkan Kampung Tambirat Hulu, Tambirat Hilir, Tambirat Lot dan Tambirat Tengah.

“Terima kasih YaPEIM di atas sumbangan ini. Kami mewakili penduduk kampung amat menghargai sumbangan ini. Semoga kerjasama ini akan berterusan untuk masa akan datang.”

Pihak YaPEIM merakamkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang Skim Potongan Gaji YaPEIM yang telah menyumbang kepada Tabung Amanah YaPEIM.