Inspirasi Qaseh Kami : Syukur masih ada yang peduli.

Klang, 14 Julai : Terkesan dek penularan Covid-19, peniaga kuih di sini mampu menghela nafas lega selepas menerima bantuan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) sekaligus meringankan bebanan yang ditanggung.

Syamsul Azhar Zul, 49, merupakan peniaga kuih yang terjejas teruk selain memperoleh pendapatan purata RM500 sebulan di samping menyara enam ahli keluarganya termasuk seorang anaknya yang dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU).

Merupakan salah seorang daripada penerima sumbangan bantuan YaPEIM yang disempurnakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary, di sini, Syamsul tidak dapat menahan rasa sebak selepas nasib keluarganya tetap mendapat perhatian.

Ahmad Marzuk berkata, YaPEIM khususnya di Selangor sudah mencatatkan lebih 75,000 individu sebagai penerima program agihan sumbangan Foodbank dan Inspirasi Qaseh Kami (Inspirasi Prihatin).

“Untuk makluman, setiap keluarga yang disantuni menerima bantuan RM500 selain barangan keperluan harian.

“YaPEIM turut menyediakan peruntukan pendidikan dan keperluan asas lain bergantung kepada situasi kesihatan ahli keluarga penerima,” katanya yang ditemui ketika menyampaikan sumbangan di beberapa lokaliti di sini termasuk Telok Gong.

Hadir sama Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan dan Pengurus Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Selangor Che Nor Azila Che Ghani.

Parihah berkata, untuk rekod sejumlah RM4.5juta nilai bantuan sudah dicatatkan tahun ini menjadikan jumlah bantuan Foodbank sepanjang musim pandemik Covid-19 seluruh negara.

“Alhamdulillah, YaPEIM terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan menyantuni golongan yang terkesan dek pandemik Covid-19 mencakupi setiap daerah seluruh negara.

“Semoga bantuan yang diterima dapat meringankan bebanan yang ditanggung penerima dan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua penyumbang tabung amanah YaPEIM,” katanya.

Sumbangan anda sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan. Kami hanya perantara dalam menyampaikan amanah anda.

Tabung Kebajikan dan Pelajaran YaPEIM – 1402 3010 0000 82 (Bank Islam)