Seri Iskandar, 12 Februari : “Saya bersyukur ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa kerana sumbangan menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) saya sejak dari zaman muda akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat di sekitar lokasi selian saya”, semalam.
Hal itu dinyatakan sendiri Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso dan beliau turut memaklumkan, SPG yang dilakukannya juga konsisten malah beberapa kali meningkatan jumlah potongan gajinya bagi tujuan infaq.
Lebih 30 tahun menjadi salah seorang ahli Skim Potongan Gaji Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Barudin menzahirkan rasa syukur kerana tidak menyangka amalan bersedekah yang dilakukannya akhir memberi manfaat kepada masyarakat sekitar Seri Iskandar.
“Ianya menjadi lebih bermakna apabila di saat ada kawasan seperti Felcra Nasarudin mengalami Pergerakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sumbangan ini sedikit sebanyak membantu mereka dalam mengharungi pandemik ini.
“Lebih 300 keluarga terjejas dalam PKPD di zon berkenaan dan menerima manfaat daripada bantuan kali ini, selain barisan petugas hadapan juga turut menerima bantuan berupa bekalan makanan terutamanya daging yang dibekalkan Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TaQY),” katanya.
Barudin turut menyatakan terima kasih kepada YaPEIM dan pihak pengurusan bencana negeri mencakupi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kesihatan, Majlis Daerah Perak Tengah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Tentera, Bomba, Angkatan Pertahanan Awal dan badan NGO lain.
Program sumbangan disempurnakan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan.