Inspirasi Qaseh Kami : Menteri Agama turun padang menghulurkan bantuan

Kuala Lumpur, 25 Jun : Ibarat jatuh ditimpa tangga. Itu perumpamaan buat ibu tunggal yang berusia 45 tahun, Puan Noor Faizun Mohd Arsad yang kini tinggal bersama tiga (3) orang anaknya di sebuah kediaman di Jalan Ipoh.

Beliau yang telah bercerai dengan suaminya yang berwarganegara Australia, 16 tahun lalu kini terpaksa berusaha keras untuk membesarkan anaknya sejak 16 tahun dahulu.

Puan Noor Faizun yang pernah bekerja sebagai pemandu pelancong, kini menjalankan perniagaan sendiri kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan aktiviti pelancongan dijalankan.

Beliau menggunakan kemahiran beliau dalam bidang masakan untuk meneruskan kehidupan. Beliau sering menerima tempahan makanan seperti nasi beriani dan nasi tomato daripada beberapa badan organisasi.

Sebagai yayasan yang beroperasi di bawah Sektor Kebajikan dan Bantuan Kemanusiaan, YaPEIM memikul amanah yang besar daripada para penyumbang dalam Skim Potongan Gaji YaPEIM.

Setiap sumbangan daripada orang ramai, YaPEIM akan menyalurkan semula kepada orang ramai.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berbesar hati untuk menyerahkan bantuan kepada Puan Noor Faizun sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban yang dihadapi sejak akhir-akhir ini.

Bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu Puan Noor Faizun dan keluarga.

Pihak YaPEIM merakamkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang Skim Potongan Gaji YaPEIM yang telah menyumbang kepada Tabung Amanah YaPEIM.