Inspirasi Qaseh Kami : “Jangan tinggal solat kerana solat itu tiang agama”

Mersing, 18 Jun 2022 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad menitip pesan sebagai tanda kenangan kepada warga penduduk, di sini, hari ini.

Datuk Hj. Idris menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada 100 keluarga asnaf di Mukim Bandar dan Mukim Tenglu dalam Program Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Kami anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Rata-rata penduduk di sini bekerja sebagai nelayan, petani dan terlibat dalam sektor pelancongan sebagai sumber pendapatan. Mereka turut menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kehadiran YB Menteri ke kampung mereka.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang @ Musran Tawil dan Penghulu Kanan Pejabat Daerah Mersing, Tuan Haji Hefnee Md Noor, diiringi Penghulu Mukim, Ketua Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.

YaPEIM turut merakamkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang Tabung Amanah melalui Skim Infaq Gaji sehingga ke hari ini.

Sumbangan anda telah memberi sinar harapan kepada mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup mendepani ujian dan musibah yang mendatang.