Inspirasi Qaseh Kami : Ibu tunggal terus dibantu menerusi program Sinar Kasih

Kota Bharu, 30 Jun : Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini telah menyebabkan ekonomi Negara lumpuh dan memberi impak besar kepada rakyat terutamanya ibu tunggal yang kematian suami akibat kemalangan.

YaPEIM melalui Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri Kelantan (PPYN) terus komited menyalurkan sumbangan bantuan melalui Program Inspirasi Sinar Kasih YaPEIM kepada tujuh keluarga yang ditimpa musibah pada tahun lalu.

Rata-rata penerima sumbangan ini merupakan suri rumah sepenuh masa dan peniaga-peniaga kecil dimana pendapatan mereka turut terjejas akibat PKP.

Menurut Tengku Zarina Mahmood, 46, beliau bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan oleh YaPEIM kerana sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian beliau bersama tiga anak yang masih bersekolah.

Beliau yang merupakan seorang guru mengaji Al-Quran kini hilang punca pencarian setelah pusat pengajian tersebut ditutup sejak PKP 1.0. Lebih menyedihkan beliau apabila anak perempuan yang berusia lapan tahun didiagnosiskan autisme oleh doktor pada bulan Mac lalu. Anak beliau itu memerlukan perhatian penuh olehnya sehingga menyukarkan beliau untuk keluar mencari nafkah seharian.

Seorang lagi penerima sumbangan bantuan tersebut iaitu Salwani Awang, 43, juga melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diterimanya hari ini. Beliau yang mempunyai empat orang anak berusia empat hingga lapan tahun hanya terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian kerana perniagaan terpaksa dihentikan seketika akibat PKP ini bagi memberi fokus kepada PDPR tiga anak yang bersekolah.

Antara penerima sumbangan Sinar Kasih ini adalah Wan Suhana Arifin, 39, yang merupakan seorang peniaga kedai runcit, Masnita Mustaffa, 43, yang bekerja sebagai Jurujual di kedai barangan bayi, Halimah Majid, 49, surirumah sepenuh masa, Aishah Mahmood Maidin, 42, peniaga kek dan Nor Azianwati Jusoh, 39, yang bekerja sebagai Jururawat di HPRZ.

Dengan sumbangan bantuan yang dihulurkan oleh YaPEIM melalui Program Inspirasi Sinar Kasih ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban insan memerlukan yang juga turut terkesan akibat PKP.

Terima kasih diucapkan kepada penyumbang Tabung Amanah YaPEIM yang sentiasa komited dalam menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.