Inspirasi Qaseh Kami : Foodbank YaPEIM bagi nelayan dan petani

Asajaya, 23 Oktober : Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melalui Program Inspirasi Qaseh kami telah menyampaikan sumbangan makanan kering kepada 100 orang penduduk Kampung Semera di Daerah Asajaya, disini, hari ini.

Simbolik serahan disampaikan oleh Ketua Pengarah YaPEIM, Mohd Ridzal Mohd Sheriff kepada penerima sumbangan yang hadir. Rata-rata penduduk di kampung tersebut bekerja sebagai petani dan nelayan. Sejak pandemik Covid19, sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka.

Selain itu perubahan angin monson yang mengakibatkan keadaan cuaca yang buruk tidak mengizinkan para nelayan turun ke laut pada ketika ini, ini secara tidak langsung turut menyebabkan sumber pendapatan terjejas.

Mohd Ridzal turut berkunjung kerumah penerima menyampaikan sumbangan Inspirasi Prihatin kepada dua buah keluarga. Penerima pertama, Sumi Sani yang mempunyai kecederaan pada kaki menyara keluarga dengan hanya mengambil upah kerja-kerja kampung.

Pada masa yang sama, beliau turut menyara anak yang merupakan orang kurang upaya (OKU). Manakala penerima kedua, Siti Zaharah Abdullah pula merupakan seorang mualaf yang tinggal seorang diri. Beliau tidak mempunyai pekerja dan menyara diri sendiri dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak masjid kampung. Semoga dengan sumbangan yang dihulurkan ini dapat meringankan beban mereka.

Pihak YaPEIM mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada para penyumbang Skim Potongan Gaji YaPEIM yang telah merealisasikan impian kami untuk memberi lebih manfaat kepada yang memerlukan secara meluas. Semoga saham akhirat anda ini diberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Untuk sumbangan ke Tabung YaPEIM boleh dibuat melalui :-

Bank Islam : 14023010000082 (Tabung Kebajikan Dan Pelajaran YaPEIM)

Maybank : 564016103182 (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia)

BSN : 1410029864503006 (Tabung Kebajikan Pelajaran YaPEIM Skim Pembangunan YaPEIM)

Sumbangan Ikhlas Tuan dan Puan layak mendapat Pengecualian Cukai Pendapatan dibawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967