Raub, 8 Januari : “Tidak pernah rumah kami dinaiki air setinggi ini, kebiasaan setiap tahun rumah kami akan dilanda banjir tapi hanya paras-paras lutut saja tetapi banjir kali ini rumah kami ditenggelami air hampir ke paras bumbung.”
Kongsi Azura Md Yusof, 37, seorang daripada mangsa banjir yang ditemui dalam program yang dijalankan Skuad Qaseh menerusi Program Inspirasi Qaseh Kami di Dewan Serbaguna Kampung Pia, Dong di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam kejadian banjir Ahad lalu, beliau menyedari air mula naik ke kawasan rumahnya secara mendadak pada jam 1 tengah hari sebelum mengambil inisiatif bersama keluarganya untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara.
Katanya, beliau bersyukur walaupun perabot dan harta benda di rumah musnah tetapi nyawa anak-anaknya bersama ibu mentua selamat dalam kejadian bah yang disifatkan terbesar pernah dialami sepanjang hidupnya.
“Kini air sudah surut kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan termasuk membawa keluar barangan yang terjejas akibat lumpur sungai,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Dalam program Inspirasi Qaseh Kami ini bantuan barangan keperluan asas diagihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.
Program agihan sumbangan disertai Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Parihah Hasan dan pengurusan utama YaPEIM.
Bantuan barangan keperluan asas turut disalurkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Muhammad Jabar, Dong, di sini.