26 April 2025 – Pembantu cafe di Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak menyangka impian untuk memiliki sebuah kediaman yang selesa akhirnya termakbul menerusi inisiatif Program Sinar Lestari YAPEIM.
Puan Mashitoh binti Khasim, 41, berkata beliau tidak menyangka terpilih sebagai penerima manfaat program itu dan menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan YAPEIM yang membina sebuah rumah yang cukup selesa untuk dirinya dan keluarga yang bernilai RM80,000.
Sesi serahan kunci rumah Puan Mashitoh telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Lorong Madu, Kampung Rawa, Changlun hari ini.
Program ini juga merupakan kerjasama strategik Pejabat Pembangunan Negeri Kedah (PPNK), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi membantu membina sebuah rumah untuk keluarga miskin eKasih di Kedah.
Kerja-kerja pembinaan rumah Puan Mashitoh telah dimulakan sejak 21 April 2024 dan siap sepenuhnya pada 23 September 2024. Pemilihan dan pengesahan penerima manfaat kategori eKasih ini telah dilakukan oleh PPNK, ICU JPM pada 4 September 2023.
Sesi serahan rumah tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan wakil PPNK ICU JPM negeri Kedah.
Dalam masa sama, YAPEIM turut menyalurkan bantuan tambahan iaitu pakej sokongan kelestarian perniagaan sebanyak RM5,000 bagi membantu penerima manfaat memperoleh pendapatan tambahan.




