Foodbank YaPEIM bawa manfaat kepada insan memerlukan

Makanan secara umum adalah keperluan asas bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup serta membekalkan tenaga untuk melakukan aktiviti harian. Makanan ialah suatu bahan yang boleh dimakan dalam bentuk pepejal atau cecair.

Kekurangan makanan yang diperlukan dalam badan manusia akan menyebabkan sistem diri seseorang individu itu akan terganggu baik dari segi fisiologi, psikologi dan sosial.

Oleh itu amat penting untuk seseorang manusia mendapatkan bekalan makanan yang secukupnya bagi membolehkan segala aktiviti harian dilaksanakan sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Namun, sudah tentu setiap negara di dunia ini akan berhadapan dengan masalah kemiskinan dan kekurangan makanan yang menimbulkan konflik kemanusiaan.

Sebahagian besar masyarakat di Malaysia ini tidak dibelenggu dengan masalah kekurangan makanan dan kemiskinan apabila perkara ini mampu di atasi oleh kerajaan dengan baik.

Bagaimanapun sudah tentu ada sebahagian kecil masyarakat di negara ini yang ‘terperangkap’ dengan masalah kemiskinan yang mana golongan seperti ini tidak terlepas daripada perhatian pihak kerajaan.

Di sini, bermulalah peranan yang dimainkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) apabila melancarkan inisiatif Foodbank YaPEIM dalam membantu meningkatkan sosioekonomi ummah.

Foodbank YaPEIM adalah bantuan keperluan serta makanan (Dry food), (Ready-to-Eat) dan daging segar kepada mereka yang memerlukan yang dikenal pasti seperti keluarga kumpulan B40 dan ke bawah, Pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan petugas barisan hadapan yang bertugas ketika wabak COVID-19.

Program ini mula dilaksanakan pada tahun 2019 hingga kini dan memberi manfaat keseluruhan kepada 503,117 orang dengan perbelanjaan terkumpul berjumlah RM8.6 juta.

Pelaksanaan program ini juga dibuat melalui Pusat Pentadbiran Negeri YaPEIM (PPYN) dengan kerjasama strategik pelbagai pihak (usahawan di peringkat lokaliti) dan pembekalan barangan Foodbank oleh Pasaraya YaPEIM (YaPEIM’s Mart).

Alhamdulillah selepas hampir dua tahun dilaksanakan program Foodbank YaPEIM sudah banyak membantu mereka yang memerlukan dengan pembahagian bekalan yang menyeluruh kepada pelajar yang sudah dikenal pasti.

Bagi pembahagian Foodbank YaPEIM kepada pelajar IPT, bekalan makanan ‘Ready to Eat’ (masakan panas atau makanan segera seperti biskut, roti dan lain-lain) diagihkan kepada mereka yang sudah dikenal pasti yang mana segala data ini diberikan pihak institusi pengajian kepada YaPEIM.

Kesemua pelajar akan menerima 10 hingga 16 kali pembahagian makanan RTE (Ready to Eat) bagi setiap semester serta tertakluk kepada jumlah pelajar bagi setiap IPT yang terlibat.

Golongan pelajar di IPT adalah aset negara pada masa hadapan, justeru keperluan mereka terutama dalam mendapatkan makanan yang secukupnya perlu diberi perhatian dan ia bukanlah tanggung jawab kerajaan semata-mata sebaliknya peranan ini boleh dimainkan semua pihak termasuk individu perseorangan.

Pelajar IPT yang berkualiti akan melahirkan masyarakat yang mempunyai kualiti modal insan yang baik sekali gus memacu negara ke arah kemajuan yang diimpikan.

Jelas di sini program Foodbank YaPEIM merupakan inisiatif yang amat baik dalam mengimbangi sistem sosial di antara masyarakat miskin dan kaya.

Selain itu, dalam negara kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 YaPEIM tampil menyahut seruan bersama agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menggerakkan misi #MUSAADAHCOVID19 selaras dengan keputusan Mesyuarat Pasca Kabinet YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 18 Mac 2020 di Putrajaya.

Dalam usaha menjayakan misi #MUSAADAHCOVID19, YaPEIM telah melaksanakan Program Foodbank YaPEIM 2.0 yang merupakan inisiatif YaPEIM dalam usaha menyantuni dan meringankan bebanan kumpulan sasar dan petugas hadapan (frontliner) di seluruh negara yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk itu, YaPEIM memperuntukkan sejumlah RM9.8 juta dari Tabung Amanah YaPEIM bagi menjayakan Program Foodbank YaPEIM 2.0 #MUSAADAHCOVID19 yang mana sehingga kini telah membelanjakan RM3.5 juta dengan memberi manfaat kepada 218,774 orang di 899 lokasi di seluruh negara.