Farmasi SANTUN lancar mesin vending kesihatan 24 jam pertama di Puncak Jalil

29 Jun 2024 – Farmasi SANTUN yang merupakan satu daripada rangkaian perniagaan Koperasi SANTUN telah memperkenal perkhidmatan mesin vending kesihatan 24 jam pertama di kawasan Puncak Jalil, Selangor yang dapat memanfaatkan ribuan penduduk di kawasan sekitar.

Perkhidmatan mesin vending kesihatan ini merupakan inisiatif baharu yang dilaksanakan Farmasi SANTUN dalam menawarkan pilihan kepada masyarakat untuk mendapatkan keperluan ubat-ubatan tanpa mengira masa sekali gus menjadikan Farmasi SANTUN sebagai pilihan utama.

Timbalan Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang@Musran bin Tawil berkata, selepas setahun beroperasi di Puncak Jalil, Farmasi SANTUN tampil dengan idea ini dan berharap ianya dapat menyumbang kepada keuntungan perniagaan farmasi berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Terbuka Farmasi SANTUN dan mesin vending kesihatan 24 jam pertama di Puncak Jalil, Selangor, hari ini.

Hadir sama Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah bin Haji Abdullah; Pengerusi Koperasi SANTUN YaPEIM Berhad, Encik Muhammad Shahier bin Sa’min; dan Pengurus Besar Koperasi SANTUN, Encik Usamah Zaid bin Shahrul Bashah.

Untuk makluman, Koperasi SANTUN merupakan institusi dibawah kawalan YaPEIM yang ditubuhkan pada 18 Oktober 2011 bagi melaksanakan pelbagai aktiviti keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan anggota seperti francais, penjualan, rangkaian pemasaran dan pembangunan hartanah.

Sementara itu, pelaksanaan program Hari Terbuka Farmasi SANTUN turut melibatkan pelbagai aktiviti yang telah disusun untuk komuniti setempat seperti pemeriksaan kesihatan secara percuma yang dibawa khas oleh Klinik SANTUN, pemeriksaan mata oleh Ikhlas Optical dan pemeriksaan kulit oleh klinik estatik Fiana.

Selain itu pemeriksaan kaki oleh pusat fisiologi Syurga Abadi, pemeriksaan gigi, cucian emas oleh Ar Rahnu YaPEIM, jualan emas oleh YaPEIM Gold, cabutan bertuah, promosi pembelian dengan pembelian (PWP) serta pameran produk-produk terpilih turut mengambil tempat pada hari terbuka ini yang bermula seawal jam 9 pagi.