Dr Zulkifli puji aplikasi Lark diguna pakai YaPEIM

Petaling Jaya, 28 Oktober – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memuji aplikasi ‘Lark’ iaitu sistem komunikasi dan kolaborasi dalam talian yang diguna pakai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Beliau berkata, sistem yang mula digunakan YaPEIM sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu banyak memudahkan urusan kerja serta aktiviti pentadbiran YaPEIM.

“Suka saya nyatakan di sini bahawa setiap naratif dan cara kerja yang membawa sebarang kebaikan akan kita lihat dan pertimbangkan untuk dipertingkatkan. Sebab itu pada saya jika jika sistem (Lark) yang nak dilancar ini baik maka kita akan laksanakannya.

“Soal kos itu adalah perkara yang kedua yang akan dibincangkan, kesesuaian dan keserasian untuk jadi pemudah kerja dari rumah adalah yang utama,” katanya ketika berucap di ibu pejabat YaPEIM selepas meninjau aplikasi Lark yang digunakan YaPEIM, semalam.

Untuk rekod aplikasi Lark mula digunakan YaPEIM sebagai satu sistem pentadbiran serta pengurusan kerja ketika PKP mula dilaksanakan. Ia memberi manfaat kepada 1,400 warga kerja YaPEIM dalam menjadi pemudah cara kepada sebarang aktiviti kerja dan komunikasi.

Sementara itu, Dr Zulkifli turut mengingatkan kepentingan memanfaatkan teknologi terkini untuk digunakan ketika bekerja dari rumah atau ‘work from home’.

Katanya, aplikasi sidang video ‘Zoom’ dan mesyuarat dalam talian yang lain boleh digunakan untuk memudahkan sebarang aktiviti kerja yang perlu dilaksanakan sekali gus melancarkan operasi pentadbiran setiap agensi.

Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan serta barisan pengurusan YaPEIM.