Disebalik ujian datangnya rahmat

Sik, 28 September : Disebalik pelbagai ujian dan dugaan yang dilalui sudah pasti ada hikmah yang ingin ditunjuk Allah SWT kepada hamba-hambanya yang sabar dan sentiasa bersyukur.

Kata-kata itu bertepatan dengan apa yang dilalui Mohd Nor Zamri Mohamad Sopi, 36, bersama keluarganya apabila menjadi penerima manfaat Program Inspirasiku MyHAUS di Kampung Betong Dalam, Jeneri, di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu diuji dengan pelbagai dugaan hidup apabila kehilangan pekerjaan selain disahkan menghidap penyakit jantung bengkak sejak dua tahun lalu.

Bapa dua anak itu memberitahu, kini dirinya hanya mengusakan perniagaan kecil-kecilan menjual cendol dan pulut udang bagi menampung keperluan dirinya dan keluarga yang secara purata memperoleh RM800 sebulan.

“Saya pada mulanya tidak menyangka kerana terpilih untuk menjadi penerima manfaat Program Inspirasiku MyHAUS ini. Alhamdulillah banyak bantuan yang dihulurkan pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah kepada saya dan keluarga,” katanya.

Untuk rekod Mohd Nor Zamri telah dibantu pihak YaPEIM menerusi bantuan pembinaan tempat tinggal dan Bantuan Inspirasi Pendidikan yang secara keseluruhannya berjumlah RM68,000.

Bagi bantuan perniagaan, YaPEIM juga menjalinkan kerjasama stategik dengan pihak Alliance Bank di bawah platform Sosio Bisnes bagi mengumpul dana melalui kaedah ‘crowdfunding’.

Bapa kepada Muhamad Raiyan Darwisy, 9, Puteri Auliya Syifaa, 4 serta suami kepada Hamidah Ahmad Tajudin, 37, turut menerima bantuan Foodbank YaPEIM bernilai RM300.

Simbolik penyerahan rumah Mohd Nor Zamri disempurnakan Ketua Pengarah YaPEIM, Mohd Ridzal Mohd Sheriff dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman.

Sementara itu, Mohd Ridzal berkata, pihak YaPEIM memulakan pembinaan rumah keluarga asnaf itu pada 9 Mac lepas dan mengambil tempoh empat minggu untuk disiapkan dengan kapasiti dua bilik tidur dan satu bilik air.

Katanya, YaPEIM juga akan terus menyediakan bimbingan keusahawanan termasuk penyediaan bengkel bagi beliau meneruskan perniagaan untuk kelestarian hidup mereka pada masa akan datang.

“Sehingga kini Program Inspirasiku MyHAUS YaPEIM telah memberi manfaat kepada 74 orang penerima di lapan negeri dengan 10 buah rumah berjaya dibina dengan kos keseluruhan bernilai lebih RM175,000.

“Program ini juga turut mendapat kerjasama 11 institusi yang bertindak sebagai rakan strategik YaPEIM bagi menjayakan program berkenaan. Bagi tahun 2021 ini YaPEIM mensasarkan 45 buah rumah dibina dengan RM2.7juta diperuntukan bagi perlaksanaan projek tersebut,” katanya.