CMASA.MY buka peluang bantu artis veteran

Petaling Jaya, 27 Ogos – “Sebelum ini kami hanya memasarkan produk yang dihasilkan melalui media sosial seperti Facebook, namun selepas mendengar penerangan mengenai platfrom e-dagang CMASA.my, kami mendapat satu peluang baru untuk meningkatkan jualan produk yang terdiri daripada golongan artis veteran.”

Pengerusi Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), Kismah Johar berkata, taklimat dan penerangan yang diberikan kepada 20 artis veteran tanah air berhubung platform CMASA.my di Ibu Pejabat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) amat bermakna.

“Sesi taklimat yang disampaikan kepada kami cukup bermakna kerana beberapa maklumat baru dapat dipelajari terutamanya daripada corak pemasaran produk berstrategi sekaligus meningkatkan hasil jualan produk,” katanya.

Beliau turut teruja dengan beberapa insentif yang ditawarkan YaPEIM bagi membantu para usahawan khususnya bagi kelompok artis veteran dalam memperkasa perniagaan masing-masing.

Kismah yang popular dengan drama bersiri Keluarga Iskandar berkata, taklimat berlangsung kira-kira dua jam itu diharap menjadi pemangkin kepada para artis veteran untuk menggunakan platform e-dagang bagi memasarkan produk dikeluarkan mereka.

Terdahulu, taklimat pengenalan YaPEIM bermula jam 10.30 pagi itu disampaikan Pengarah Kanan Pengurusan Dana Infaq dan Pembangunan Sosio-ekonomi, Mohammad Zamri Zakaria.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan.