Bangkit Daripada Kegagalan, Hasilkan Produk Maruku

SEPANG, 7 MAC 2022 – Pernah gagal sekali dalam dunia keusahawanan, tetapi itu hanyalah sekadar proses pembelajaran dan mematangkan dirinya untuk lebih berjaya di masa hadapan.

Apa yang ingin dikongsikan Muhammad Nur Firdaus Fadil, 25, pada persidangan Koperasi Kariah Masjid Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Hotel Movenpick, di sini hari ini adalah bagaimana beliau pernah gagal ketika mengusahakan perniagaan makanan Char Kuey Tiaw beberapa tahun dahulu sebelum bangkit dengan menghasilkan produk maruku hari ini.

Perkongsiannya itu ternyata membuka mata peserta persidangan yang hadir bagaimana kecekalan seorang anak muda untuk terus berusaha dan bersaing dalam dunia keusahawanan.

Katanya, pihak seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) banyak memainkan peranan membantu dirinya dan keluarga terutama dalam penyediaan geran kewangan untuk dia memulakan perniagaan maruku itu.

Sementara itu, persidangan dua hari berkenaan menghimpunkan individu-individu yang aktif dalam koperasi kariah masjid di seluruh negara untuk bertukar pandangan dan melihat secara lebih dekat mengenai ilmu yang dikongsikan pakar di negara kita.

YaPEIM selaku agensi di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengambil bahagian apabila membuka gerai pempamer yang mempromosikan produk Akaun Emas YaPEIM (SERY) dan juga keusahawanan.