Ar Rahnu YaPEIM sasar 50 peratus pegangan ‘Market Share’

Kuala Lumpur, 5 Oktober – Pelaksana Program Mikro Kredit Ar Rahnu terbesar di Malaysia, Ar Rahnu YaPEIM (ARY) mensasarkan untuk berkembang dan menguasai 50 peratus pegangan ‘market share’ pajak gadai Islam di negara ini dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, buat masa ini ARY yang juga inisiatif YaPEIM melalui Koperasi YaPEIM Berhad (KYB) sebagai pelaksana sudah menguasai hampir 30 peratus pasaran berbanding pegangan pelaksana Ar Rahnu yang lain.

“Untuk masa hadapan ARY mensasarkan untuk berkembang dan mampu untuk menguasai 50 peratus pasaran dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun dengan pelbagai produk dan perkhidmatan baru termasuk pendigitalan perkhidmatan Ar Rahnu YaPEIM di bawah inisiatif Platform Digital YaPEIM (DIY@),” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan ulang tahun Ar Rahnu YaPEIM ke-20.

Majlis sambutan Ar Rahnu YaPEIM diadakan di perkarangan ibu pejabat KYB di Kampung Attap di sini, hari ini.

Parihah berkata, kini ARY mempunyai keahlian seramai 754,013 orang membabitkan transaksi terkumpul berjumlah 5.99 juta dengan nilai pembiayaan terkumpul RM10.757 bilion serta nilai marhun berjumlah RM16.665 bilion setakat 30 September ini.

Katanya, dalam masa sama ARY juga telah mengorak langkah dengan penawaran produk-produk baru yang lebih kompetetif iaitu Ar Rahnu Prestij, Ar Rahnu Bisnes, Ar Rahnu Didik dan Ar Rahnu Emas yang dierkenalkan pada 1 Jun 2019.

“Produk-produk tersebut diperkenalkan selaras dengan perkembangan dan prestasi tujuan penggadaian yang dipecahkan kepada beberapa keperluan yang produktif seperti untuk kegunaan modal perniagaan (23.13%: dengan nilai pembiayaan terkumpul RM1.37 billion).

“Manakala bagi tujuan Pendidikan (21.76% dengan nilai pembiayaan terkumpul RM1.28 billion) dan selebihnya bagi tujuan sara hidup dan perubatan dan pelbagai tujuan lain yang membantu dalam meningkatkan ekonomi ummah dan masyarakat,” katanya.

Parihah berkata, dalam memastikan ARY terus relevan dan diterima masyarakat pihaknya turut mengambil kesempatan membuat penjenamaan semula dengan menggantikan nama Perkhidmatan Kaunter Bergerak YaPEIM (PKBY) yang telah diwujudkan pada 28 Jun 2015 kepada Ar Rahnu YaPEIM Akses Mobile.

Beliau berkata, ARY Akses Mobile ini bukan sahaja berperanan bagi tujuan promosi malah mempunyai fungsi yang sama seperti cawangan statik yang membolehkan transaksi gadaian dan penjualan emas dilakukan.

“ARY Akses Mobile ini membabitkan penjenamaan terhadap enam bas dan tiga van masing-masing satu di Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan Kedah serta tiga van iaitu dua di Sabah dan satu di Sarawak yang mana ia akan muncul dengan imej baru yang lebih segar dan menarik seterusnya mencapai objektif kewujudannya untuk terus menyantuni masyarakat di seluruh pelosok tanah air,” katanya.

Sementara itu, sambutan ulang tahun Ar Rahnu YaPEIM ke-20 kali ini turut memberi penganugerahan kepada Tan Sri Dato’ Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai Tokoh Ar Rahnu atas jasa beliau selaku pemikir dalam mengasaskan sistem pajak gadai Islam di Malaysia.