Ar Rahnu Care YaPEIM tawar keperluan tunai segera

Kuala Lumpur, 2 Disember – Ar Rahnu YaPEIM (ARY) memperkenalkan satu lagi produk baharu melalui penawaran produk Ar Rahnu Care YaPEIM kepada kumpulan sasar yang ditentukan.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, penawaran produk baharu ini bagi menyantuni mereka yang memerlukan tunai segera terutamanya apabila ditimpa sesuatu musibah atau mengalami situasi yang mendesak.

Katanya, produk Ar Rahnu Care YaPEIM mempunyai objektif membantu masyarakat yang memerlukan pembiayaan selaras dengan keadaan semasa pandemik (COVID-19) pasca pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Penawaran Produk Ar Rahnu Care YaPEIM adalah tepat pada masanya mengambil kira persekitaran dan situasi semasa penularan pandemik COVID-19 untuk membantu masyarakat yang terjejas terutama dalam aspek kewangan.

“Inilah keunikan Produk Ar Rahnu Care kerana dengan pelaksanaan produk seperti ini akan menjadi ‘entry point’ kepada pelanggan yang terkesan dipertimbangkan bantuan/ sumbangan dan inisiatif lain di bawah Program Kebajikan, Sosioekonomi dan Keusahawanan YaPEIM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis pelancaran Ar Rahnu Care YaPEIM di premis Ar Rahnu YaPEIM cawangan Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan, Ar Rahnu Care YaPEIM memberi lebih pilihan kepada pelanggan pelbagai kelompok masyarakat seterusnya menyantuni golongan sasar yang terdiri daripada pesakit kronik (45 jenis penyakit disenaraikan oleh pengendali takaful MySalam), diberhentikan kerja, kebakaran, kemalangan jalan raya, bencana alam (banjir, berlaku perubahan pada struktur tanah, ribut) dan kematian ketua keluarga (kemalangan, kebakaran, mati lemas, bencana alam).

Parihah berkata, produk Ar Rahnu Care YaPEIM juga menawarkan margin pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai emas semasa dengan maksimum pembiayaan berjumlah RM5,000.00 yang disifatkan mampu membantu pelanggan memperoleh bantuan awal kewangan segera dengan upah simpan serendah 75 sen sahaja.

Katanya, bagaimanapun penawaran produk ini adalah tertakluk kepada ‘first come first served basis’ di mana pelaksanaan produk ini adalah kepada pelanggan terawal yang layak sahaja berdasarkan kepada peruntukan dana Ar Rahnu YaPEIM.

“Ia mempunyai beberapa syarat kelayakan yang harus dipenuhi pelanggan dan dokumen yang diperlukan untuk menggunakan Produk Ar Rahnu Care YaPEIM. Ia boleh didapati dengan melayari laman sesawang Ar Rahnu YaPEIM.net dan boleh dibaca di FB Official YaPEIM dan Ar Rahnu YaPEIM,” katanya.

SYARAT KELAYAKAN

  1. Pesakit kronik (borang permohonan, kad pengenalan dan surat pengesahan penyakit dari hospital)
  2. Diberhentikan kerja (borang permohonan, kad pengenalan dan pengesahan notis berhenti kerja dari syarikat)
  3. Kebakaran, kemalangan jalan raya dan bencana alam (borang permohonan, kad pengenalan dan laporan polis)
  4. Kematian ketua keluarga (borang permohonan, salinan kad pengenalan ibu/bapa atau penjaga, salinan pengesahan/surat sumpah anak angkat atau penjagaan (jika berkaitan) dan Salinan surat kematian)