Ar Rahnu Biznita Bantu Lebih Ramai Wanita Terlibat Dalam Keusahawanan

PETALING JAYA, 5 MAC 2022 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad hari ini secara rasmi melancarkan produk baharu Ar Rahnu YaPEIM iaitu Ar Rahnu BizNita di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, di sini, hari ini.

Ar Rahnu Biznita diperkenalkan bertujuan membantu golongan wanita terutama mereka yang terbabit dalam bidang keusahawanan khususnya dalam mendapatkan modal perniagaan dengan gadaian barang kemas di Ar Rahnu YaPEIM.

Inisiatif ini di ambil selepas melihat wanita memainkan peranan utama dalam pembangunan ekonomi negara dan keluarga sama ada yang bekerjaya mahupun suri rumah.

Majlis pelancaran turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Hj. Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Hj. Awang @ Musran Tawil serta pengurusan utama YaPEIM.

Kelebihan Ar Rahnu BizNita adalah meningkatkan aksesibiliti wanita kepada pembiayaan di bawah Program Mikro Kredit Ar Rahnu sebagai medium mendapatkan modal bagi tujuan perniagaan dengan menjadikan emas sebagai aset mudah cair.

Selain itu, proses permohonan modal perniagaan yang pantas, patuh syariah dan diyakini; margin pembiayaan sehingga 80 peratus nilai emas; upah simpan serendah 0.03 sen sehari serta menggalakkan wanita menyimpan emas sebagai pelaburan alternatif.

YB Menteri dalam ucapan pelancaran turut berharap Ar Rahnu YaPEIM terus komited menyantuni masyarakat dan sentiasa memikirkan inisiatif baru dan lebih segar agar terus lestari di masa akan datang.

Sementara itu, dalam majlis sama Ar Rahnu YaPEIM turut mengadakan majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Kesetiaan Ar Rahnu YaPEIM 2021 kepada pelanggan bertuahnya.