14 April 2025 – Program Aidilfitri MADANI YAPEIM peringkat negeri Sabah yang dianjurkan hari ini ternyata membawa keceriaan dan meringankan beban penerima manfaat apabila sebanyak RM46,500 disalurkan di Masjid Dhuyufur Rahman, Putatan.
Program yang disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar itu menyaksikan sumbangan berupa bantuan tunai Sinar Kasih berjumlah RM200 diberi kepada 50 keluarga berjumlah RM10,000; sumbangan Program Pembangunan Ekonomi kepada lima persatuan berjumlah RM5,000.
Selain itu YAPEIM turut menyalurkan sumbangan Program Pembangunan Pendidikan Sumbangan Aidilfitri kepada 100 orang Pelajar berjumlah RM10,000 dan Sumbangan Institusi berjumlah RM5,000 kepada 4 institusi dan bantuan lain masyarakat seramai 400 orang berjumlah RM16,500.
Turut hadir, Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan Pengarah/Ketua Divisyen Perkhidmatan YAPEIM Tuan Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim.
Sementara itu, sejumlah RM27,300 turut diserahkan kepada 91 ketua isi rumah mangsa kebakaran di Kampung Cempaka, Likas, Kota Kinabalu menerusi sumbangan Tabung Musaadah JAKIM-YWM.
Program Aidilfitri MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni dan menyasarkan penerima manfaat Program Pembangunan Keusahawanan, Kemasyarakatan dan Pendidikan YAPEIM di samping menjadi medan terbaik dalam mempromosi dan memperkenalkan YAPEIM khususnya penyumbang baharu dan sedia ada kepada skim-skim infak YAPEIM.
Ianya juga mempunyai objektif untuk memperkukuh lagi hubungan korporat dan sosial antara YAPEIM dan rakan strategik YAPEIM, menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat terutama badan korporat untuk bersama YAPEIM dan juga membantu usahawan dalam mengembalikan sumber pendapatan melalui pembekalan bantuan kepada penerima manfaat.
Aidilfitri MADANI YAPEIM peringkat negeri Sabah adalah yang pertama dianjurkan dan terdapat lapan lagi lokasi terpilih di seluruh negara yang akan disantuni YAPEIM menerusi program ini dalam masa terdekat.
Sebelum ini YAPEIM telah memperuntukan sejumlah RM1.2 juta bagi program Ramadan MADANI YAPEIM di lebih 25 lokasi di seluruh negara yang memanfaatkan 7,700 pelajar yang memerlukan. Penerima manfaat yang disantuni YAPEIM ini terdiri dalam kalangan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi dan pelajar sekolah dalam kalangan keluarga miskin dan keluarga B40 yang menerima bantuan tunai RM100 setiap seorang.










