Agensi JPM Hal Ehwal Agama termasuk YaPEIM menyantuni mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Nai’m bin Haji Mokhtar petang ini ke Kota Tinggi bersama agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) bagi menyantuni mangsa banjir di sana.

Sebagai salah sebuah daripada agensi-agensi tersebut, YaPEIM hadir menyantuni sejumlah 120 keluarga mangsa bencana banjir di daerah itu dengan pemberian Foodbank YaPEIM berjumlah RM15,000.

Turut hadir ialah Exco Hal Ehwal Agama Negeri Johor YB Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd Khalid, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed dan ketua-ketua agensi yang lain.

Rombongan yang diketuai YB Menteri ini menyantuni keluarga mangsa banjir di Dewan Serba Guna Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi.

Mangsa banjir juga turut disantuni dengan diberi kit kebersihan dan kit solat sumbangan YADIM dan Tabung Haji, barangan keperluan dan peralatan pembersihan sumbangan MAIWP, dan lampin pakai buang dan tuala wanita sumbangan Yayasan Waqaf Malaysia.

Terdahulu, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menyampaikan bantuan rumah program Sinar Lestari YaPEIM bernilai RM60,000 kepada Puan Suriani binti Kassim di Kampung Kurnia, Johor Bahru.

Secara keseluruhan, JPM (Hal Ehwal Agama) menyalurkan sumbangan lebih RM1.5 juta ringgit pada hari ini.

YaPEIM merakam ucapan jutaan terima kasih kepada para penyumbang Tabung Amanah YaPEIM termasuk mereka yang menyumbang secara potongan gaji bulanan.

Sumbangan anda telah memberi sinar harapan kepada penerima manfaat hari ini dalam meneruskan kelangsungan hidup mendepani ujian dan musibah.