22 Julai 2025 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar menyampaikan sumbangan RM10,000 melalui pelaksanaan Program Ziarah MADANI PEDULI kepada Cikgu Mohd Lutfi bin Radzi sekeluarga di kediaman mereka di Sungai Petani, Kedah.
Sumbangan ini merupakan bantuan daripada JAKIM dan agensi di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM3,000 dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (Yayasan Taqwa).
Cikgu Mohd Lutfi, 37, merupakan pemandu Perodua Alza yang terbabit dalam nahas tragedi kemalangan bas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak pada 9 Jun lepas.
Dalam kejadian itu, Cikgu Mohd Lutfi mengalami cedera ringan di bahagian dada dan bahu sementara isteri beliau Puan Nurul Ain binti Zakaria, 36, mengalami patah lima tulang rusuk, anak sulung (Nur Aisyah Nafisah) mengalami patah tulang lutut dan anak bongsu (Muhammad Ahsan Nafis) mengalami kesan lebam dan luka ringan di kepala dan badan.
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im menzahirkan rasa sedih atas ujian yang menimpa keluarga Cikgu Mohd Lutfi dan berharap kesemua mereka segera pulih daripada kecederaan masing-masing. Turut hadir dalam kunjungan ziarah ini ialah Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan.



