3,000 usahawan sertai Halal on Track di Johor

4 Jun 2024 – Kira-kira 3,000 usahawan pelbagai kategori industri, agensi, institusi dan kementerian berkaitan pembangunan usahawan terlibat dalam Program Halal on Track (HOT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, hari ini.

Program anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta beberapa lagi agensi lain telah disempurnakan pelancarannya oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.

Turut hadir, Menteri Besar Johor YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed.

Penganjuran HOT di Johor yang juga negeri pertama menjadi tuan rumah merupakan manifestasi komitmen kerajaan melalui JAKIM dan negeri-negeri untuk memperkasa pensijilan halal Malaysia menerusi pelbagai kaedah dan pendekatan yang lebih mesra industri. HOT disediakan sebagai satu platform yang boleh memberi pendedahan kepada usahawan berkenaan pensijilan halal Malaysia.

Antara objektif yang disasarkan menerusi penganjuran HOT adalah meluaskan pemahaman usahawan terhadap proses pensijilan, meningkatkan kesedaran usahawan terhadap kepentingan persediaan awal sebelum membuat permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan menjadi platform bimbingan dan fasilitasi halal kepada usahawan ke arah pensijilan halal Malaysia.

YaPEIM juga tidak ketinggalan dalam membuka reruai yang menyediakan perkhidmatan cuci emas, pendaftaran Rakan Strategik Infak dan penerangan mengenai usahawan YaPEIM.