YB Senator Dr. Zulkifli sampai syarahan sempena Program Usrah Madani YAPEIM

Putrajaya, 16 Februari 2026 – Alhamdulillah satu perkongsian ilmu dan penerangan yang sangat jelas disampaikan sendiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan berkenaan buku ‘Rethinking Ourselves’.

Sesi tersebut disampaikan di Dewan Abdur Rahman Ibn Auf di Ibu Pejabat YAPEIM di Menara Ochre, di sini, hari ini yang turut dihadiri warga kerja YAPEIM serta pemimpin dan ahli-ahli NGO yang dijemput.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim; barisan ahli lembaga pemegang Amanah YAPEIM, Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan barisan pengurusan utama YAPEIM.

Penganjuran Program Usrah Madani YAPEIM: ‘Rethinking Ourselves’ Pemangkin Malaysia Madani pada hari ini adalah bertitik tolak daripada karya terbaharu Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang diterbitkan oleh dua penerbit antarabangsa iaitu Hurst Publication dan Penguin Publication yang mengandungi enam bab.

Sesi syarahan kira-kira sejam itu turut dipancarkan secara langsung di Facebook rasmi YAPEIM (Official). YB Senator Dr. Zulkifli kemudian turut menyempurnakan gimik perasmian Dewan Abdur Rahman Ibn Auf.