YaPEIM ziarah, ringan beban mangsa banjir

Slim River, 6 Januari – Sayu hati warga Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebaik melihat keadaan sebahagian mangsa yang terjejas banjir sekitar bandar ini.

Dalam ziarah yang diketuai Pemangku Ketua Pengarah YAPEIM, Parihah Hasan bersama warga pengurusan YAPEIM Perak, jelas mendapati semangat prihatin yang dipamerkan sukarelawan dan petugas barisan hadapan sekitar sedikit sebanyak membantu meringankan kepayahan mangsa banjir.

Program ziarah dan penyerahan sumbangan itu turut mendapat perhatian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Bahagian Komunikasi Korporat YaPEIM difahamkan, sejumlah 18 keluarga membabitkan lebih 90 individu terjejas dalam bencana banjir kali ini.

Ketika dikunjungi, ada di antara mereka masih ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kuala Slim manakala sebahagiannya sudah pulang membersihkan kediaman masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli sempat meluangkan masa mendekati mangsa banjir dan berkongsi kesedihan selain memberi sumbangan barangan keperluan bagi meringankan bebanan mereka.

Hadir sama dalam program kali ini, sukarelawan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Polis Diraja Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama serta pemimpin dan penduduk setempat.