Shah Alam, 22 September 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) berharap akan dapat menjalinkan kerjasama strategik bersama Sinar Krangkraf yang merupakan satu daripada konglomerat media tanah air yang popular.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan ketika melakukan kunjung hormat bersama delegasi YAPEIM ke ibu pejabat Sinar Karangkraf, di sini, petang ini.
Antara kerjasama yang boleh dimeterai termasuklah menjadikan Sinar Karangkraf sebagai rakan media YAPEIM yang dapat membantu dalam menguar-uarkan berita berkaitan program dan aktiviti terhadap masyarakat.
Selain itu, kerjasama dari segi perkongsian pintar membabitkan Rakan Strategik Infaq (RSI) dan peluang serta ruang lain yang boleh YAPEIM manfaatkan untuk mendapat liputan dengan lebih luas.
Kehadiran delegasi YAPEIM disambut Pengasas Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) Datuk Hussamuddin Yaacub; Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Encik Akmal Eirfan bin Mohamed Fauzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Puan Farah binti Hussamuddin.
Perbincangan selama 90 minit itu turut disertai Pengarang Berita Sinar Harian Encik Junhairi bin Alyasa Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf Encik Nik Justin Nik Mohd Arifin.
Delegasi YAPEIM turut dibawa melawat studio Sinar Karangkraf dan meninjau pengoperasian agensi media berkenaan.
Di akhir kunjung hormat Tuan Haji Zabidi turut mempelawa pengurusan Sinar Karangkraf melakukan kunjungan balas ke ibu pejabat YAPEIM pada bila-bila masa.








