Kerteh, Terengganu | 4 Nov 2025 — Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) terus komited dalam menyokong pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia dengan menyerahkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada Briged Bakti Malaysia (BBM) sempena Karnival Pasukan Badan Beruniform BBM 2025 yang berlangsung di Pusat Latihan FELDA Kerteh, Terengganu.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, dan diterima oleh Naib Presiden II BBM, Encik Mohd Juraij bin Othman. Turut hadir sama, Encik Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim, Ketua Divisyen Sosioekonomi YAPEIM.
BBM merupakan sebuah badan beruniform yang menekankan pembentukan jati diri, disiplin, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia. Melalui aktiviti-aktiviti berteraskan nilai murni seperti tanggungjawab sosial, semangat berpasukan dan cinta kepada negara, BBM berperanan membentuk generasi muda yang berwibawa dan berintegriti.
Sumbangan ini menggambarkan komitmen YAPEIM dalam memperkukuh peranan organisasi belia ke arah membina masyarakat yang berdaya tahan, berakhlak mulia serta mampu memimpin masa depan negara.








