Samarahan, 12 Mac 2026 – Program Ramadan MADANI YAPEIM peringkat negeri Sarawak telah dianjurkan di Masjid Al-Muttaqin, Kota Samarahan, Sarawak sebagai salah satu inisiatif YAPEIM dalam menyantuni masyarakat serta menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
YAPEIM telah menyalurkan beberapa bentuk sumbangan kepada komuniti setempat, antaranya sumbangan iftar berjumlah RM18,000 bagi penyediaan juadah berbuka puasa kepada para jemaah dan masyarakat sekitar. Selain itu, sumbangan pendidikan kepada sekolah rendah berjumlah RM20,000 turut disampaikan bagi menyokong usaha memperkasakan pendidikan pelajar.
Selain itu, YAPEIM turut menyerahkan sumbangan pendidikan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjumlah RM10,000 serta sumbangan bantuan infrastruktur kepada Masjid Al-Muttaqin berjumlah RM5,000 sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan pendidikan dan kesejahteraan institusi masjid.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Unit Pentadbiran yang mewakili Residen Bahagian Samarahan, Encik Mohd Hasbullah bin Putra.
Turut hadir Ketua Seksyen Pengurusan Risiko dan Pematuhan YAPEIM, Encik Muhammad Mikhail bin Gerinsa; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Muttaqin, Samarahan, Tuan Haji Sapuan bin Haji Piie; Timbalan Pengarah Pusat Khidmat Pelajar UNIMAS, Puan Elina bt Jelani; serta Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan bagi Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Naser bin Ramli.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan YAPEIM dalam memperkukuh kebajikan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.








