LANGKAWI, 16 Mei 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) meneruskan komitmen memperkasa komuniti luar bandar menerusi Program Santuni Komuniti MADANI di Langkawi dengan jumlah bantuan keseluruhan sebanyak RM27,200.
Sebanyak RM17,200 diagihkan kepada 80 orang nelayan di Pulau Tuba, masing-masing menerima bantuan tunai RM150 dan jaket keselamatan bernilai RM65. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban golongan nelayan, tetapi turut menitikberatkan aspek keselamatan mereka dalam rutin harian di laut demi kelangsungan hidup keluarga.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, di Jeti Teluk Puyuh, Pulau Tuba.
Turut hadir, Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, wakil agensi tempatan serta pemimpin komuniti. Sebagai tambahan, YAPEIM turut menyerahkan Geran Keusahawanan berjumlah RM5,000 kepada usahawan tempatan, Lekoshow Pulau Tuba, bagi menyokong pengembangan perniagaan dan menjana peluang pendapatan di peringkat komuniti.
Dalam rangka lawatan kerja yang sama, sumbangan keraian sebanyak RM5,000 turut diberikan kepada Masjid Aishah, Pulau Langkawi, sebagai sokongan kepada penganjuran aktiviti kemasyarakatan dan pengimarahan masjid.
Program ini adalah sebahagian daripada pendekatan bersasar YAPEIM dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan sektor tradisional seperti perikanan serta keusahawanan mikro. Semua sumbangan ini disalurkan menerusi Tabung Amanah YAPEIM, hasil sumbangan orang ramai.
YAPEIM kekal komited dalam agenda pembangunan ummah yang inklusif dan berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Transformasi Pelan Al Falah.







