YaPEIM Salur Bantuan Musaadah Covid19 Somalia

Kuala Lumpur, 7 Ogos – Sebaik mendengar keluh kesah permasalahan kehidupan warga Somalia menetap di Malaysia yang diceritakan sendiri dutanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri segera mengambil langkah prihatin dengan menyalurkan sumbangan.

Menyedari kesusahan warga Somalia itu ketika pademik Covid-19 dan tempoh perintah kawalan pergerakan ini untuk mereka meneruskan kehidupan, Datuk Dr Zulkifli tidak meletakkan perbezaan untuk menghulurkan bantuan sebaliknya terus mengarahkan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri menyalurkan bantuan pek makanan bagi mengurangkan beban yang dihadapi oleh mereka.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) turut menyerahkan bantuan Program Musa’adah Covid-19 Somalia berupa barangan keperluan asas sebanyak 700 pek berjumlah RM70,000 kepada warga Somalia yang tinggal di Malaysia.

Dianggarkan seramai kira-kira 4,000 warga Somalia dari 2,000 keluarga termasuk pemegang kad UNHCR berada di negara ini.

Alhamdulillah, Yayasan Waqaf Malaysia, JAWI, YaPEIM, YADIM, JAWHAR dan Tabung Haji di bawah program bantuan agensi masing-masing telah bersama menyediakan sumbangan pek makanan untuk diagihkan kepada 2,000 keluarga Somalia dengan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan bagi tujuan ini sebanyak RM200,000.

Sementara itu, wakil Duta Republik Somalia di Malaysia, Abdimajit Mohamed Osman, dalam ucapan ringkasnya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Malaysia dalam membantu meringankan beban warga Somalia yang berada di negara ini terutamanya semasa tempoh pandemik.

Majlis serba ringkas disempurnakan oleh Datuk Dr Zulkifli.

Program Simbolik Penyerahan Musa’adah Covid-19 Somalia ini turut dihadiri oleh beberapa Ketua Jabatan / Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri. YaPEIM turut diwakili Pengerusinya Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abd Wahid, dan Pemangku Ketua Pengarahnya Pn Parihah Hasan.

Dalam majlis ini, sumbangan diberikan di tiga buah lokasi yang berbeza,melibatkan 10 penerima warga Somalia di setiap lokasi. Baki sumbangan akan diuruskan oleh Pejabat Kedutaan Republik Somalia dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia.

Pihak YaPEIM mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyumbang YaPEIM yang menyalurkan sumbangan ke Tabung Amanah YaPEIM.