YaPEIM ringankan beban mangsa bencana di Yan

Yan, 11 September : Musibah banjir kilat akibat hujan lebat dan fenomena kepala air yang melanda pada 18 Ogos lalu menjadi titik hitam kepada lebih 10 kampung di daerah ini dan beberapa kawasan sekitar.

Menyelami keperitan dan kesusahan yang dialami oleh mangsa, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tampil menyantuni mangsa yang terkesan akibat musibah berkenaan menerusi Program Musa’adah.Melalui Program Musa’adah, YaPEIM menyalurkan sumbangan berjumlah RM51,600 kepada mangsa banjir.

Sumbangan berupa barangan keperluan asas dan bantuan tunai RM500 diberikan kepada setiap mangsa banjir.

Selain itu, bagi mangsa yang kematian ketua keluarga akibat musibah ini, YaPEIM menyalurkan sejumlah RM14,400 melalui Program Sinar Kasih kepada keluarga mangsa yang layak.

Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Idris Ahmad.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pengarah YaPEIM Mohd Ridzal Mohd Sheriff dan beberapa lagi ketua agensi agama.