PUTRAJAYA, 7 Jun 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi Program Infak Korban Al Falah YAPEIM 2025 dengan memberi manfaat kepada lebih 60,000 penerima dalam kalangan kumpulan sasar yang terdiri daripada B40, asnaf dan miskin termasuk golongan yang memerlukan di seluruh negara.
Program ini dilaksanakan di 134 lokasi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan melibatkan sebanyak 143 ekor lembu untuk sembelihan korban. Pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama strategik bersama beberapa agensi kerajaan seperti hospital dan sekolah, masjid serta pertubuhan NGO bagi memastikan agihan daging korban dilaksanakan dengan lebih menyeluruh, sistematik dan menyentuh lebih ramai penerima manfaat.
Program Infak Korban Al Falah YAPEIM 2025 ini dianjur bertujuan memberi peluang kepada peserta ibadah korban menyumbang kepada kumpulan sasar yang memerlukan, serta memupuk sikap kepedulian terhadap masyarakat muslim lain yang diuji dengan kemiskinan dan kekurangan. Selain itu, ia juga turut memupuk nilai-nilai murni dalam diri dan mengajar erti syukur yang sebenar.
Untuk makluman tahun 2024, YAPEIM telah menganjurkan Program Infak Korban dengan jumlah agihan keseluruhan berjumlah RM1 juta yang memanfaatkan 178,150 kumpulan sasar di seluruh negara. Secara keseluruhan sejak tahun 1985 hingga 2024, YAPEIM telah mengagihkan sebanyak RM711 juta kepada 9.8 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras YAPEIM iaitu pembangunan ekonomi islam, pembangunan pendidikan dan pembangunan kemasyarakatan.
YAPEIM berharap bantuan dan program-program seumpama ini dapat memberi manfaat dan nilai tambah dalam kehidupan para penerima manfaat. Jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada penyumbang Tabung Amanah YAPEIM yang sudi berinfak sekali gus membolehkan program bermanfaat seperti Program Infak Korban ini dapat dilaksanakan.










