YAPEIM – MBSB Bank serah tiga unit rumah bernilai RM150,000

Bangi, 18 Disember 2025 – Peniaga kuih Puan Fatin Adibah binti Rodzuan tidak menyangka impian memliki kediaman yang selesa bersama keluarga tercinta direalisasikan oleh YAPEIM menerusi pelaksanaan Projek Sinar Lestari YAPEIM.

Rumah bina baharu yang dibina di Kampung Bahagia Bangi, di sini, menelan belanja RM80,000 selepas kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 15 April lalu dan siap sepenuhnya pada 25 Mei.

Sesi serahan rumah Puan Fatin Adibah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan. Turut hadir Ketua Hal Ehwal Komuniti MBSB Bank Tuan Azmi bin Abd Rahim.

Alhamdulillah YAPEIM melalui Seksyen Pengurusan Dana Korporat telah merealisasikan konsep kerjasama strategik bersama MBSB Bank dan memilih negeri Selangor sebagai negeri pertama bagi pelaksanaan projek ini.

Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (PPPNS), Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) adalah rakan strategik yang berperanan sebagai Institusi yang mengesahkan calon penerima yang layak dan YAPEIM Holding Sdn Bhd pula sebagai agensi pelaksana bagi mengurus pelantikan kontraktor dan menyelaras kerja-kerja pembinaan dan baik pulih rumah kepada calon penerima.

Dalam masa sama, YAPEIM dengan kerjasama MBSB Bank turut menyerahkan dua lagi unit baik pulih rumah menerusi pelaksanaan Projek Sinar Lestari YAPEIM – MBSB Bank.

Penerima manfaat tersebut adalah Puan Yuhana binti Ali, pengusaha katering yang menerima manfaat baik pulih rumah di Kampung Dagang Setia, Kuala Kubu Bharu Selangor dan yang kedua adalah Puan Wan Zuraini binti Wan Yusoff, peniaga makanan pagi yang menerima manfaat baik pulih rumah di Ijok, Bestari Jaya Selangor.

Secara keseluruhan projek kerjasama ini bernilai RM150,000.

YAPEIM berharap kerjasama dengan badan-badan korporat seperti MBSB Bank ini akan membolehkan lebih banyak lagi penerima manfaat dan masyarakat yang memerlukan dapat disantuni.