Kuala Lumpur, 28 September 2025 – YAPEIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyerahkan sumbangan kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dalam satu majlis penuh bermakna di ibu negara. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasakan komuniti setempat melalui jaringan kerjasama antara rakan strategik.
Sultan Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi YDSM berangkat hadir ke majlis.
Baginda Tuanku turut berkenan meluangkan masa hampir setengah jam mendengar dan berbincang mengenai perancangan kerjasama yang akan dilaksanakan khususnya kepada masyarakat negeri Terengganu.
Serahan cek cura telah disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada YBhg. Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM sambil disaksikan oleh Baginda Tuanku.
YAPEIM dan MAIWP menyalurkan sumbangan berjumlah RM550,000 kepada YDSM bagi pelaksanaan Program Pembangunan Komuniti/Kemasyarakatan di Negeri Terengganu.
Turut hadir ke majlis ialah Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM dan Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Ketua Pengarah YAPEIM.



