Bangi, 15 Januari 2026 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) melancarkan kempen #HopeforGaza bagi membantu meringankan penderitaan penduduk di Gaza melalui sumbangan dan infak dana yang dikumpul daripada masyarakat di Malaysia.
Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan berkata, pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta sebelum ianya diserahkan kepada Tabung Musaadah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang kemudian akan disalurkan kepada masyarakat di Gaza.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Rakan Strategik YAPEIM 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan di sebuah hotel di sini, hari ini.
YB Senator Dr. Zulkifli kemudian turut melancarkan kempen #HopeforGaza dan memuji inisiatif YAPEIM ini yang disifatkan cakna dan peduli dengan nasib yang menimpa saudara Islam di Palestin khususnya di Gaza.
Turut hadir, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, barisan Ahli Jawatankuasa khusus YAPEM dan barisan pengurusan utama YAPEIM.
Sementara itu, penganjuran Majlis Apresiasi Rakan Strategik YAPEIM 2025 ini merupakan usaha menghargai serta mengeratkan hubungan kerjasama bersama badan korporat / institusi / individu yang selama ini turut sama menyumbang dalam membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat melalui sumbangan kepada YAPEIM.
Kira-kira 400 orang daripada pelbagai latar belakang telah hadir pada hari ini membabitkan penyumbang Rakan Strategik Infak (RSI) dan Rakan Strategik Korporat (RSK), wakil majikan, ketua-ketua agensi serta penerima manfaat.
YB Senator Dr. Zulkifli turut berbesar hati menyempurnakan gimik serahan bantuan Sinar Lestari YAPEIM, penyerahan Bantuan Pendidikan, serahan sijil apresiasi kepada empat penyumbang tertinggi bagi kategori RSI serta serahan sijil apresiasi kepada rakan korporat.
Sebelum ini, Tahun Infak YAPEIM 2026 telah dilancar yang menjadi momentum strategik untuk melonjakkan kembali budaya infak sebagai norma kehidupan masyarakat, sekali gus mengangkat YAPEIM sebagai institusi infak nasional dan pilihan utama ummah.















