Putrajaya, 24 Julai 2025 – YAPEIM terus komited dalam memperkasa agenda kesejahteraan negara menerusi penyertaan aktif dalam inisiatif Sejahtera MADANI yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Sebagai institusi yang prihatin terhadap keperluan masyarakat, YAPEIM telah menyalurkan sumbangan infak berjumlah RM2.61 juta melalui Program Sinar Lestari, satu daripada inisiatif berimpak tinggi yang menyokong usaha kerajaan menangani kemiskinan dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.
Sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada kutipan RM120 juta ke dalam Tabung Kesejahteraan Rakyat, melepasi sasaran awal RM50 juta yang ditetapkan oleh kerajaan. Penyerahan cek cura telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Kudus bin Mohd Naaim kepada YAB Perdana Menteri dalam satu majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Melalui Program Sinar Lestari ini YAPEIM komited untuk melaksanakan 60 projek dengan kerjasama bersama Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU JPM).
YAPEIM turut memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan keusahawanan melalui pendekatan holistik yang digerakkan di bawah inisiatif YAPEIM Didik dan YAPEIM Niaga khusus dalam memanfaatkan golongan asnaf, B40, serta mereka yang memerlukan.
YAPEIM terus melangkah ke hadapan, menyokong usaha nasional demi membina masyarakat sejahtera dan berdaya tahan.



