YAPEIM, Jabatan Penjara Malaysia teroka kerjasama strategik

‎Kuala Lumpur, 9 Oktober 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang diketuai oleh Ketua Pengarah, Tuan Haji Zabidi bin Nasan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Bahagian Agama dan Kaunseling Jabatan Penjara Malaysia, TKP Zaidi bin Hamid di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia hari ini.

Pertemuan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama strategik antara YAPEIM dan Jabatan Penjara Malaysia dalam melaksanakan program-program pemerkasaan sosioekonomi, khususnya melalui inisiatif keusahawanan serta latihan kemahiran di kalangan prospek.

YAPEIM turut berkongsi beberapa inisiatif di bawah program Infak YAPEIM termasuk peluang pendanaan infak individu yang boleh dimanfaatkan bagi melaksanakan projek-projek sosial berimpak tinggi di institusi pemulihan dan komuniti pasca penjara.

Menurut Tuan Haji Zabidi, kerjasama ini selaras dengan aspirasi YAPEIM sebagai agensi pembangunan sosial berasaskan ekonomi Islam yang komited membantu golongan berkeperluan melalui pendekatan berteraskan nilai ihsan, infak dan keberdayaan.

Sementara itu, TKP Zaidi menyambut baik cadangan tersebut dan menyatakan bahawa inisiatif bersama ini mampu menyokong agenda pemulihan menyeluruh Jabatan Penjara Malaysia, khususnya dalam menyediakan ruang ekonomi yang inklusif bagi prospek dan bekas prospek.