YAPEIM, IKIM perkukuh jalinan strategik menerusi kunjung hormat

Kuala Lumpur, 21 Oktober 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) meneruskan langkah memperkukuh jaringan strategik apabila mengadakan kunjung hormat ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hari ini.

Kunjungan diketuai Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan disambut mesra oleh Ketua Pengarah IKIM Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil bersama barisan pengurusan IKIM di ibu pejabat IKIM.

Pertemuan ini bertujuan mempererat hubungan dua hala antara YAPEIM dan IKIM selain meneroka potensi kerjasama strategik dalam aspek hebahan dan publisiti berkaitan program serta aktiviti YAPEIM terhadap masyarakat.

Selain itu, turut dibincangkan potensi perkongsian pintar membabitkan Rakan Strategik Infaq (RSI) yang dapat membuka ruang kolaborasi lebih luas antara kedua-dua pihak.

Delegasi YAPEIM turut berpeluang melawat Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS) yang menempatkan pelbagai koleksi buku sejarah dan bahan ilmiah.

Sebelum sesi kunjung hormat berlangsung, Tuan Haji Zabidi turut bersiaran secara langsung di radio IKIMfm dalam segmen khas bertajuk “Perkasa Ekonomi Ummah Bersama YAPEIM” bagi berkongsi peranan dan inisiatif YAPEIM dalam memperkasa ekonomi masyarakat Islam di Malaysia.

Pertemuan ini diharap menjadi titik tolak kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara YAPEIM dan IKIM dalam memperkukuh agenda pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan ummah.