YAPEIM dan Gas Malaysia Berhad teroka kerjasama strategik

Kuala Lumpur, 17 Oktober 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Gas Malaysia Berhad hari ini meneroka satu bentuk kerjasama strategik yang bertujuan memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi ummah melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan inisiatif infak berimpak tinggi.

Perbincangan strategik antara kedua-dua pihak diadakan di Ibu Pejabat Gas Malaysia Berhad dan dipengerusikan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia Berhad, Tuan Ahmad Hashimi bin Abdul Manap. Melalui kerjasama ini, YAPEIM dan Gas Malaysia berhasrat melaksanakan pelbagai inisiatif berteraskan keprihatinan sosial dan pembangunan komuniti, termasuklah program infak korporat.

Menurut Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, inisiatif ini merupakan antara langkah strategik YAPEIM dalam menjayakan aspirasi YAPEIM untuk menjadi institusi infak nasional yang memberi tumpuan kepada kolaborasi dengan sektor korporat dan GLC bagi memperluas capaian manfaat kepada masyarakat.