15 Julai 2025 – Wacana Ekonomi YAPEIM Siri 1 telah berjaya dianjurkan dengan kehadiran seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk sektor awam, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta syarikat swasta.
Wacana yang bertemakan “Social Enterprise for a Humane Economy: From Intent to Socio-Economic Empowerment” ini telah disampaikan oleh Dr. Imran Alvi, Ketua Eksekutif Oxford Intellect, United Kingdom – sebuah institusi yang berpusat di Oxford dan berfokus kepada pemindahan ilmu kepada sektor awam dan pendidikan.
Antara intipati utama yang dikongsikan ialah bagaimana niat (niyyah) untuk memberi impak sosial yang positif menjadi pemacu utama dalam keusahawanan sosial. Usaha ini bukan bertujuan mengejar keuntungan peribadi semata-mata, sebaliknya didasari oleh matlamat untuk memanfaatkan komuniti secara menyeluruh.
Keusahawanan sosial juga menuntut komitmen yang tinggi dalam memastikan impak yang dihasilkan benar-benar memberi kesan serta mampu dikekalkan dalam jangka panjang. Ia bukan sekadar melaksanakan program untuk kelihatan prihatin atau baik, tetapi program itu sendiri harus menjadi teras kepada model perniagaan yang mampan dan beretika.
YAPEIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan Wacana Ekonomi YAPEIM Siri 1 ini. Semoga wacana ini menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh ekosistem ekonomi sosial yang berteraskan nilai ihsan, kesejahteraan bersama dan pembangunan komuniti yang inklusif.









